Raptai Hari Malaysia berjalan lancar

1 hour ago 3
ADVERTISE HERE

KUCHING, 14 Sept: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berpuas hati dengan kelancaran raptai hari kedua sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Beliau berkata, persiapan peserta persembahan termasuk penari dan pembaca ikrar berjalan lancar, sekali gus menunjukkan mereka berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik menjelang acara kemuncak pada 16 September ini.

“Semuanya berjalan dengan baik dan bagi saya, mereka yang akan membuat persembahan pada hari itu, terutamanya penari dan yang lain-lain serta pembaca ikrar, semuanya nampak berjalan dengan baik.

“Ini menunjukkan bahawa mereka sudah bersiap sedia untuk hari utama, iaitu pada 16 September, Hari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS selepas meluangkan masa lebih dua jam menyaksikan raptai sambutan Hari Malaysia di BCCK, pada Ahad.

Menurut Abdul Karim, sambutan Hari Malaysia tahun ini lebih istimewa apabila Sarawak menjadi tuan rumah, selain bakal dihadiri barisan pemimpin negara dan negeri.

Antaranya Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Tambahnya, sambutan tahun ini turut mempunyai makna tersendiri kerana Malaysia yang dibentuk pada 1963 kini memasuki ulang tahun ke-63 penubuhannya.

Justeru, beliau menyifatkan angka 63 sebagai sesuatu yang unik dan istimewa, sekali gus menambah kemeriahan sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Sambutan Hari Malaysia juga diharap terus menyemarakkan semangat perpaduan rakyat selain memperingati sejarah pembentukan Malaysia yang melibatkan Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.-TVS

Read Entire Article