Keadaan motosikal mangsa di lokasi kejadian.

ASAJAYA, 6 Dis: Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan berhampiran Kampung Tembirat, Kilometer 13 Jalan Kota Samarahan-Asajaya malam Selasa (5 Dis).

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Brodie Brangka berkata mangsa semasa kejadian menunggang motosikal dari Asajaya menuju ke Kota Samarahan sekitar jam 9.20 malam.

Katanya, mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta sehingga menyebabkan dia tercampak ke bahu jalan.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh kakitangan paramedik yang turut hadir di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily