RM5 juta perkasa kesejahteraan warga emas dan OKU

3 hours ago 7
ADVERTISE HERE

MIRI, 12 Sept: Kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi memperluas akses kepada program kesihatan, terapi dan latihan untuk menyokong kesejahteraan warga emas serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu menyasarkan manfaat kepada 6,500 penerima melalui pelbagai program yang dilaksanakan secara berperingkat.

Daripada jumlah tersebut, RM1.995 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 133 Program Sihat Warga Emas, manakala RM1.995 juta lagi bagi 133 Program Terapi OKU.

Selain itu, RM1.01 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan enam siri latihan dan seminar berkaitan penjagaan warga emas serta terapi OKU di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Keseluruhan peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas akses kepada program kesihatan, terapi dan latihan yang dapat menyokong kesejahteraan warga emas serta golongan OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program RYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni Terapi OKU di di Dewan Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa Miri (PIBAKIS), di sini, hari ini.

Bagi Sarawak, sebanyak 12 Program Sihat Warga Emas dilaksanakan dengan peruntukan RM180,000, manakala 10 Program Terapi OKU melibatkan peruntukan RM150,000.

Sementara itu, RM92,500 diperuntukkan bagi pelaksanaan latihan berkaitan penjagaan dan terapi warga emas serta OKU.

Jelas beliau, pendekatan berkenaan turut diperkukuh menerusi kerjasama rentas sektor melibatkan institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta, sukarelawan dan komuniti setempat. – TVS

Read Entire Article