ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 12 Sept: Cadangan mewujudkan Le Tour de Langkawi (LTdL) versi Borneo yang memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak berpotensi direalisasikan dengan sokongan dana kerajaan negeri.
Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, konsep itu lebih praktikal berbanding membawa hanya beberapa peringkat perlumbaan dari Semenanjung ke Borneo yang memerlukan kos logistik tinggi.
“Kalau kita betul-betul mahu mempromosikan Borneo, jadikan ia versi Borneo Tour de Langkawi. Pada tahun tersebut, Sabah dan Sarawak dapat menikmati sepenuhnya kemeriahan LTdL.
“Kalau cadangan saya itu diterima Kerajaan Sarawak dan mereka bersedia menyediakan dana untuk mempromosikan negeri, kita sebenarnya boleh bawa perkara ini dengan penganjuran yang teratur serta kos yang optimum, bukan minimum,” katanya kepada TVS baru-baru ini.
Menurut Emir, penganjuran LTdL yang merangkumi Semenanjung sebelum keseluruhan operasi perlumbaan dipindahkan ke Borneo memerlukan perbelanjaan tambahan yang besar, selain menimbulkan cabaran dari segi logistik.
Beliau berkata, pengalaman penganjuran pada 2024 yang membabitkan Miri dan Bintulu menyaksikan kos tambahan hampir RM5 juta diperlukan bagi proses pemindahan operasi perlumbaan.
“Sekarang ini kosnya terlalu besar kalau kita mahu pergi ke sana. Selain itu, ada risiko dari segi pemindahan. Kita hampir kehilangan satu peringkat sekiranya kita tidak dapat membawa (peralatan) ke sana.
“Penerbangan yang membawa kargo itu sesuatu yang kita tidak boleh kawal. Kita boleh merancang dan sebagainya, tetapi apabila kargo itu lambat atau ada isu lain, kita tidak dapat mengawal penghantaran basikal kepada pelumba.
“Kalau basikal itu tidak sampai dan pelumba tidak dapat berlumba keesokan paginya, itu menjadi satu risiko,” katanya.
Justeru, Emir berpandangan, satu edisi yang memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak dapat mengoptimumkan kos pemindahan, selain membuka peluang kepada lebih banyak kawasan di kedua-dua negeri menikmati kemeriahan LTdL.
Katanya, konsep berkenaan boleh mempertimbangkan pembahagian lapan peringkat antara Sabah dan Sarawak, bergantung kepada kesesuaian laluan serta perancangan penganjuran.
Dari segi laluan, Emir melihat Borneo mempunyai karakter perlumbaan tersendiri, termasuk profil pendakian yang lebih mencabar di Sabah, manakala Sarawak menawarkan gabungan laluan yang sesuai untuk perlumbaan kompetitif.
Beliau berkata, Kuching, Miri dan Bintulu pernah menjadi sebahagian daripada penganjuran LTdL sebelum ini, sekali gus menunjukkan Sarawak berpotensi menerima kembali perlumbaan berprestij itu pada masa hadapan.
“Saya lihat penganjuran secara menyeluruh di Borneo bukan hanya dapat memperluaskan jangkauan LTdL, malah mampu dimanfaatkan sebagai platform mempromosikan Sabah dan Sarawak kepada penonton antarabangsa,” ujarnya. -TVS

4 hours ago
5








English (US) ·