ADVERTISE HERE
MUKAH, 21 Sept: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari tongkang ke Sungai Igan berhampiran Jambatan Igan diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluaskan sehingga radius lima kilometer.
Mangsa, Saiful Bahri, 33, warganegara Indonesia dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan kerja di atas sebuah tongkang kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.
Kejadian disedari rakan sekerjanya sebelum dimaklumkan kepada pengurus yang berada di lokasi.
Pekerja kemudian melakukan pencarian awal menggunakan bot di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh, namun mangsa masih gagal ditemui selepas lebih sejam operasi dijalankan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, taklimat bersama semua agensi terlibat bagi operasi SAR hari kedua diadakan pada jam 9.20 pagi sebelum pencarian dimulakan pada jam 9.30 pagi.
“Pasukan SAR menggunakan teknik Water Surface Searching dengan kawasan pencarian diperluaskan sehingga radius lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Keadaan air dilaporkan mulai surut pada pagi ini, namun arus agak deras terutama di kawasan berhampiran muara sungai,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang berwarna hitam dan seluar jeans.
Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui.
Operasi disertai tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dengan sebuah bot dan kenderaan Hilux, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) yang turut menggerakkan anggota serta bot masing-masing.-TVS

2 hours ago
6








English (US) ·