ADVERTISE HERE
KUCHING, 21 Sept: Sarawak bakal menggubal undang-undang baharu bagi mengawal serta melindungi bangunan, monumen dan aset warisan di seluruh wilayah ini daripada terjejas akibat pembangunan semasa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, undang-undang berkenaan antara langkah memastikan khazanah warisan negeri terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Namun, sebelum undang-undang diperkenalkan, kita perlu terlebih dahulu melibatkan masyarakat di lapangan khususnya pemilik premis berkenaan. Kita tidak boleh terus melaksanakan perkara tersebut tanpa mengambil kira pandangan mereka. Itu tidak wajar.
“Kita perlu mengadakan sesi libat urus dan menjelaskan kepada mereka bahawa aset-aset ini akan dilindungi untuk masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Heritage Future: Voices of Old Kuching, di sini hari ini.
Menurutnya, antara kawasan yang akan diberi tumpuan awal ialah Jalan Gambir, Main Bazaar dan Lebuh India yang menempatkan pelbagai bangunan serta monumen bersejarah termasuk Old Court House, Round Tower, Square Tower dan Masjid India.
Beliau berkata, kepentingan pemilik premis turut akan diambil kira menerusi sesi libat urus sebelum sesuatu kawasan atau bangunan diwartakan, termasuk penyediaan pampasan sekiranya diperlukan.
Karim menjelaskan, keperluan memperkukuh perlindungan warisan semakin penting susulan pembangunan bandar, termasuk pelaksanaan Transit Aliran Autonomi (ART) yang memerlukan perancangan teliti bagi memastikan pembangunan tidak menjejaskan aset bersejarah.
“Kalau kita tidak merancang dengan betul, sebahagian daripada bangunan ini mungkin dirobohkan atau terjejas.
“Jadi, dengan adanya peruntukan undang-undang dan peraturan tertentu untuk mengawal serta melindungi bangunan dan monumen lama ini, ia dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Katanya, usaha pewartaan bukan hanya melibatkan bangunan, malah turut merangkumi elemen warisan lain termasuk pokok kapas di Padang Merdeka yang dicadangkan untuk diwartakan sebagai warisan.
Beliau berkata, proses pewartaan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerajaan menilai satu persatu aset warisan di seluruh Sarawak bagi menentukan keutamaan.-TVS

12 hours ago
6








English (US) ·