ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Sarawak bakal menjadi tuan rumah OIC Solidarity Games 2029 yang dijangka menghimpunkan penyertaan daripada 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, hak penganjuran temasya berkenaan diterima dalam satu pertemuan di Taif, Arab Saudi, baru-baru ini.
Menurutnya, anggaran kos penganjuran masih belum dimuktamadkan, namun dijangka lebih tinggi berbanding Sukan SEA yang hanya melibatkan 11 negara.
“Mengenai kos penganjuran, anggaran terperinci masih belum ditetapkan. Bagaimanapun, kos OIC Solidarity Games dijangka lebih tinggi berbanding Sukan SEA.
“Jumlah acara sukan mungkin lebih kurang sama, tetapi penyertaan melibatkan 57 negara. Jadi, kosnya pasti meningkat, mungkin tambahan RM50 juta atau RM100 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan lori pentas bergerak daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak kepada Majlis Seni Sarawak (MSS) di Kuching, pada Selasa.
Abdul Karim menjelaskan, pusat penganjuran temasya itu dijangka tertumpu di Kuching, manakala cadangan untuk memperluas lokasi pertandingan ke Serian masih dalam pertimbangan khususnya dari aspek logistik dan kemudahan sukan.
Katanya, penganjuran OIC Solidarity Games 2029 bakal menjadi antara platform penting bagi Sarawak memperkukuh sektor pelancongan sukan.
“Apabila kita menganjurkan temasya seperti ini, bukan sahaja atlet yang datang, tetapi turut melibatkan jurulatih, pegawai, kru, ahli keluarga dan penyokong.
“Ini pastinya memberi limpahan kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan,” ujarnya.
Tambahnya, kerja-kerja menaik taraf kompleks sukan yang sedang dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 turut memberi kelebihan kepada Sarawak dalam menyediakan kemudahan untuk penganjuran OIC Solidarity Games 2029.-TVS

51 minutes ago
4








English (US) ·