ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Nov: Sarawak membina TEGAS Digital Core Living Nomad Lodge dengan kos RM71 juta bagi mengembangkan lagi bakat anak-anak Sarawak dalam bidang digital.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat tersebut nanti dilengkapi dengan segala kemudahan untuk digunakan para penyelidik dan pelajar.
“Pusat ini akan dibina dalam tempoh 36 bulan dan mungkin yang pertama seumpamanya di Borneo.
“Kerana kita nampak sudah ada kejayaan dalam TEGAS Village dan kita lihat anak-anak kita telah dapat mewujudkan beberapa aplikasi baharu.
“Bakat anak-anak Sarawak nampaknya sangat menyerlah,” katanya ketika ditemui selesai Perasmian Sarawak Carrier And Training Fair (SCaTFAIR) 2023 yang diadakan di Wisma Sabati di sini, hari ini.
Sebagai contoh tambah Abang Johari, anak Sarawak telah berjaya mewujudkan satu aplikasi isyarat yang menghubungkan Autonomous Rapid Transit (ART) dan lampu isyarat.
Katanya, ini adalah teknologi yang pertama di kawasan Asia Tenggara dan bukti bahawa Sarawak memiliki bakat dalam bidang digital.
“Apa yang perlu ialah kita menyediakan kemudahan kepada mereka untuk membuat penyelidikan dan menghasilkan aplikasi baharu,” kata Abang Johari.
Tegas (Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak) Digital Core Living Nomad Lodge dibina bersebelahan dengan TEGAS Village.
Ia bakal memiliki pelbagai kemudahan moden termasuk studio dan gym.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh. — DayakDaily