ADVERTISE HERE
KUCHING, 28 Sept: Sarawak tidak berdepan kekurangan guru yang besar dari segi jumlah keseluruhan, namun masih memerlukan lebih ramai guru dengan opsyen tertentu, terutama bagi mata pelajaran Sains.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, keperluan guru baharu di Sarawak ketika ini dianggarkan sekitar 1,000 orang.
Menurut beliau, isu utama yang dihadapi bukan jumlah guru secara keseluruhan, sebaliknya kekurangan guru yang mempunyai opsyen bersesuaian dengan keperluan mata pelajaran tertentu di sekolah.
“Kita sebenarnya tidak mengalami kekurangan guru yang banyak. Jumlahnya paling tinggi sekitar 1,000 orang sahaja, tetapi yang kurang ialah guru mengikut opsyen kerana mereka tidak tersedia untuk setiap mata pelajaran, terutama mata pelajaran Sains,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak – Kemahiran dan Produktiviti Komuniti di sini, hari ini.
Katanya, pengambilan guru baharu bagi Sarawak akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), yang akan mengemukakan tawaran kepada calon yang berjaya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat lanjut berhubung tarikh pelaksanaan pengambilan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan sebahagian guru yang diperlukan ialah mereka yang mempunyai keupayaan mengajar lebih daripada satu mata pelajaran.
Katanya, keperluan tenaga pengajar di Sarawak kini lebih tertumpu kepada kesesuaian opsyen guru dengan keperluan mata pelajaran di sekolah.-TVS

53 minutes ago
2








English (US) ·