ADVERTISE HERE
KUCHING, 13 Sept: Sarawak Children’s Cancer Society (SCCS) menyalurkan bantuan lebih RM170,000 setakat Ogos tahun ini kepada pesakit kanak-kanak, Richie Baxter untuk menjalani rawatan kanser.
Menurut SCCS, Richie,6, disahkan mengidap neuroblastoma tahap 4 pada April lalu dan kanser itu telah merebak ke bahagian lain tubuhnya.
SCCS memaklumkan, sokongan tersebut adalah untuk menampung kos rawatan prosedur pembedahan dan pemindahannya, termasuk kos perubatan berkaitan seperti ujian makmal dan imbasan.
Menurut SCCS, antara rawatan yang telah dijalani ialah pemindahan sumsum tulang autologous dengan kos RM59,843 serta rawatan imunoterapi Dinutuximab berjumlah RM120,000.
SCCS turut membawa pakar bedah pediatrik dari Semenanjung ke Kuching bagi melakukan pembedahan membuang tumor pada bahagian toraks kanan Richie, selain menanggung kos perjalanan pakar berkenaan, menurut kenyataan.
Menurut SCCS, keutamaan adalah untuk memberikan sokongan berterusan kepada keluarga Richie bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga dari aspek mental dan emosi.
Ibu Richie, Sherolina Lutong, 34, berkata, bantuan yang diberikan oleh SCCS telah membantu dia dan keluarganya untuk menjalani ujian yang dihadapi itu, tanpa beban tambahan akibat kos rawatan yang tinggi.
“Perkara-perkara kecil ini sangat penting kerana ia membuatkan kami berasa bahawa kami tidak keseorangan dan orang ramai benar-benar mengambil berat tentang Richie serta keluarga kami,” kata Sherolina.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·