Sekolah di Serian dibuka semula esok, Lubok Antu teruskan PdPR

49 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

KUCHING, 13 Sept: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan beroperasi seperti biasa mulai esok (14 September).

Keputusan itu dibuat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melalui Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) – Air Pollutant Index Management System (APIMS) setakat jam 12 tengah hari hari ini.

Bagaimanapun, sekolah-sekolah di bawah seliaan PPD Lubok Antu akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak.

JPN Sarawak dalam kenyataan berkata, pelaksanaan PdPR itu adalah selaras dengan peruntukan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016, Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini berkaitan operasi sekolah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan semasa.

“JPN Sarawak turut menegaskan bahawa aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sentiasa diberi keutamaan, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca panas atau keadaan cuaca di luar jangkaan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka susulan keadaan jerebu.

Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran anak kepada pihak sekolah.

JPN Sarawak berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan warga pendidikan negeri sentiasa terpelihara.

Keputusan berkenaan turut menunjukkan pendekatan JPN Sarawak yang mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan murid dalam memastikan proses pendidikan dapat diteruskan mengikut keadaan semasa. -TVS

Read Entire Article