ADVERTISE HERE
SHAH ALAM, 26 Sept: Insentif kemenangan kepada atlet Selangor yang meraih pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 akan disalurkan seawal November.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata insentif melibatkan peruntukan kira-kira RM7 juta itu turut meliputi persatuan sukan serta pihak pengurusan.
“Ganjaran mengikut kategori acara akan diberikan tanpa diskriminasi bagi menghargai kedua-dua kumpulan atlet berkenaan.
“Pemberian insentif diharapkan menjadi simbol pengiktirafan kepada atlet yang mengharumkan nama Selangor dan pengorbanan barisan pengurusan yang membantu kejayaan kontinjen negeri,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Belia Negeri Selangor di sini hari ini.
Mohd Najwan berkata majlis meraikan kejayaan cemerlang menjadi juara berganda temasya itu dirancang digabungkan dengan Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor selepas Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor.
Kontinjen Merah Kuning melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai SUKMA 2026 dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa manakala kontinjen bagi Para SUKMA melengkapkan kejayaan itu dengan 93 emas, 55 perak dan 52 gangsa.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan atlet Selangor yang meraih pingat emas bagi acara individu hingga kumpulan bertiga akan menerima insentif RM15,000, manakala RM10,000 bagi atlet berempat hingga 10 orang dan RM7,000 untuk acara berkumpulan dengan 10 atlet ke atas.
Dalam perkembangan lain, Mohd Najwan yang juga Exco Pengurusan Bencana Selangor berkata laporan siasatan berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada tahun lepas telah diperoleh dan menunggu masa sesuai untuk diumumkan.
“Pengumuman mengenai dapatan itu perlu melalui prosedur pentadbiran kerajaan negeri dan sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor. Bila akan diumumkan, kita tunggu daripada Menteri Besar,” katanya. -TVS

18 hours ago
6








English (US) ·