Seni pembuatan baju Kuas mampu jana pendapatan wanita Dayak

56 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 20 Sept: Kemahiran menghasilkan baju Kuas Balau berpotensi menjana pendapatan golongan wanita Dayak melalui penghasilan dan penjualan kraf tangan tradisional.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, kemahiran menghasilkan baju Kuas perlu terus dipelajari dan diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan seni tradisional itu kekal relevan serta berpotensi dikembangkan sebagai sumber pendapatan.

“Ilmu ini perlu diteruskan, tidak hanya terhenti setakat bengkel ini. Kamu perlu meneruskannya dan belajar di rumah. Kalau boleh, hasilkan untuk anak-anak dan cucu, malah ajarkan ilmu ini kepada orang lain supaya dapat terus diwarisi oleh generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Kuas Balau Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Kuching di Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka di sini, hari ini.

Snowdan turut menegaskan kepentingan menggunakan istilah dan terma yang betul dalam pembuatan baju Kuas bagi memastikan pemahaman terhadap seni warisan itu tidak disalah tafsir.

Katanya, setiap pakaian tradisional mempunyai cerita dan kisah tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Sarawak.

Datuk Snowdan Lawan ketika menyampaikan sijil kepada peserta Bengkel Kuas Balau Serakup Indu Dayak Sarawak Cawangan Kuching di Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka hari ini.

Sementara itu, Pengerusi SIDS Cawangan Kuching, Bunie Japah berkata, seni pembuatan baju Kuas memerlukan ketelitian dan kemahiran, sekali gus membuka ruang kepada peserta yang telah mahir untuk menghasilkan pakaian berkenaan bagi memenuhi permintaan pembeli.

“Orang yang mahu membeli dan memakainya boleh mendapatkan baju Kuas daripada mereka yang mahir membuatnya.

“Jadi, ia bukan sahaja mengangkat seni warisan pakaian Iban Balau, tetapi turut memberi peluang kepada golongan wanita Dayak menjana pendapatan melalui penjualan hasil kraf tangan mereka,” ujarnya.

Mengulas perancangan masa hadapan, beliau berkata, pihaknya turut menerima banyak permintaan untuk menganjurkan bengkel pembuatan baju Ujan susulan perkembangan trend semasa yang menyaksikan peningkatan perhatian terhadap pakaian dari Batang Rajang.

Dalam pada itu, Biro Kraf Tangan SIDS Cawangan Kuching, Florence Anaka Jacy berkata, sambutan terhadap bengkel berkenaan amat menggalakkan, selain memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta mengenai teknik pembuatan baju Kuas.

Salah seorang peserta sedang tekun menghasilkan baju Kuas

“Semua peserta daripada sesi pertama hingga sesi kedua bermula tanpa pengetahuan asas mengenai pembuatan baju Kuas. Sepanjang tiga hari bengkel, mereka belajar dan mendapatkan tunjuk ajar daripada guru serta tenaga pengajar.

“Dalam tempoh tersebut, peserta berjaya menguasai asas kemahiran pembuatan baju Kuas meskipun pakaian berkenaan belum dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Bengkel berkenaan dilaksanakan dalam dua sesi, iaitu sesi pertama pada 7 hingga 9 Ogos yang melibatkan 32 peserta, manakala sesi kedua berlangsung pada 18 hingga 20 September dengan penyertaan 29 peserta.-TVS

Read Entire Article