ADVERTISE HERE
KUCHING, 20 Sept: Usaha membersihkan kawasan persekitaran menerusi penganjuran World Cleanup Day Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) 2026 dilihat mampu memberi impak besar terhadap kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, meskipun aktiviti pembersihan yang dilaksanakan kelihatan kecil, kesannya terhadap alam sekitar adalah besar, khususnya dalam membantu mengurangkan kesan pemanasan global.
“Ini merupakan satu usaha yang sangat baik, mungkin usahanya nampak kecil sahaja, tetapi kesannya adalah sangat-sangat besar sekali.
“Impaknya kepada alam sekitar adalah sangat besar kerana ini akan dapat sedikit sebanyak mengurangkan kesan pemanasan global dan juga kesan terhadap alam sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan World Cleanup Day DBKU 2026 di Taman Sepakat Jaya, Demak laut pada Ahad.
Tambahnya lagi, inisiatif berkenaan bukan sekadar dilaksanakan di satu lokasi, sebaliknya merupakan sebahagian daripada gerakan pembersihan yang melibatkan pelbagai kawasan di Malaysia dan seluruh dunia.
“Sebab inilah kita menjayakan program yang seperti ini, bukan sahaja di Taman Sepakat Jaya, Demak laut, ataupun DBKU, malah di seluruh dunia sebab inilah namanya World Cleanup Day,” ujarnya.
Katanya, pendekatan berteraskan penglibatan masyarakat seperti itu wajar diteruskan kerana tindakan secara kolektif mampu menyumbang kepada usaha memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
Penganjuran World Cleanup Day turut mencerminkan usaha pihak berkuasa tempatan dalam menggalakkan masyarakat mengambil tanggungjawab bersama terhadap kebersihan kawasan persekitaran, selaras dengan agenda kelestarian alam sekitar.-TVS

1 hour ago
6








English (US) ·