ADVERTISE HERE
LIMBANG, 20 Sept: Pesta Limbang 2026 mencatat hasil jualan mencecah RM1 juta, selain menarik lebih 30,000 pengunjung dari sekitar wilayah Borneo sepanjang empat hari penganjurannya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pencapaian itu membuktikan Pesta Limbang mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi penyertaan peniaga, usahawan serta penggiat industri kecil dan sederhana.
Beliau berkata, jumlah jualan yang dicatat sepanjang pesta itu memberi manfaat secara langsung kepada peniaga yang mengambil bahagian.
“Hasil jualan orang berniaga boleh mencecah RM1 juta hasil daripada empat hari pesta ini dijalankan. Saya juga difahamkan lebih kurang 30,000 orang pengunjung telah datang untuk memeriahkan Pesta Limbang edisi kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang, hari ini.
Menurut Hasbi, penganjuran edisi kali ini turut bermakna kerana berlangsung di Tebingan Sungai Limbang yang baharu siap dan lebih selesa, sekali gus menjadi pembukaan rasmi kawasan berkenaan kepada orang ramai.
Katanya, Pesta Limbang merupakan antara program menarik dalam Kalendar Pelancongan Negeri dan akan diadakan setiap dua tahun, selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.
“Ketiadaan pesta ini sejak sembilan tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19 selain memberi laluan kepada pelaksanaan projek pembangunan Tebingan Sungai Limbang yang kini siap sepenuhnya,” katanya.
Hasbi berkata Pesta Limbang turut menjadi inisiatif strategik bagi mempromosikan Limbang sebagai pintu masuk utama pelancongan di utara Sarawak.-TVS

1 hour ago
3








English (US) ·