Teluk Brunei berpotensi jadi pusat sukan air antarabangsa

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

LIMBANG, 20 Sept: Teluk Brunei yang merangkumi perairan berhampiran Sarawak, Sabah, Brunei dan Labuan berpotensi dibangunkan sebagai pusat utama penganjuran Cabaran Sukan Air Teluk Brunei.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, cadangan itu pernah dibincangkan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menerusi Pertemuan Dua Hala Malaysia-Brunei tahun lalu.

Menurutnya, penganjuran kejohanan itu boleh dimulakan menerusi kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta peminat sukan air dari Sarawak, Sabah, Labuan dan Brunei.

“Inisiatif menjadikan Teluk Brunei sebagai venue utama penganjuran Cabaran Sukan Air Teluk Brunei turut dibincangkan di peringkat negeri Sarawak dan dalam Pertemuan Bilateral Malaysia-Brunei tahun lalu.

“Kita berharap perkara ini dapat dilaksanakan dan perancangan ini menjadi kenyataan. Kita optimis kawasan utara ini akan menjadi salah satu pusat sukan air yang dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang, hari ini.

Hasbi berkata, beliau turut mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Sukan tahun lalu yang mencadangkan supaya inisiatif itu dimulakan melalui penyertaan NGO dan peminat sukan air.

“Kalau boleh saya menyeru NGO sukan air kita di Sarawak, Sabah, khususnya di Limbang dan Lawas, untuk memulakan usaha ini dan menjadikan perancangan ini satu kenyataan,” katanya.

Menurutnya, perancangan serta rundingan terperinci perlu dibuat antara wilayah yang terlibat memandangkan kejohanan berkenaan membabitkan kawasan perairan dan sempadan antarabangsa.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu kelak bukan sahaja dapat meningkatkan mutu sukan air, malah menonjolkan potensi Limbang dan Lawas dalam bidang sukan, ekonomi, pelancongan dan perdagangan.

Hasbi berkata, Cabaran Sukan Air Teluk Brunei merupakan satu inisiatif strategik untuk membawa acara sukan air di wilayah utara Sarawak daripada peringkat Regata Limbang dan Lawas kepada kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Pada masa sama, penganjuran kejohanan antarabangsa itu berpotensi mempromosikan Limbang dan Lawas sebagai venue sukan air bertaraf negeri, kebangsaan dan antarabangsa, sejajar kedudukannya yang strategik bersempadan dengan Brunei, Sabah dan Labuan,” ujarnya.- TVS

Read Entire Article