ADVERTISE HERE
SIBU, 20 Sept: Sibu berpotensi menjadi lokasi penganjuran kejohanan golf pada skala lebih besar susulan sambutan terhadap sukan itu serta pengalaman Kelab Golf Sibu menganjurkan kejohanan secara berterusan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Kelab Golf Sibu bagi melihat peluang memperluas penganjuran kejohanan golf pada masa akan datang.
Jelasnya, pihak kelab perlu meneliti ruang kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama kementerian, termasuk mengemukakan permohonan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mendapatkan sokongan penganjuran.
“Kalau tahun depan dan tahun-tahun seterusnya saya masih menjaga belia dan sukan, pasti ada banyak ruang untuk kita bekerjasama menganjurkan acara yang lebih besar.Kelab juga boleh memohon geran tahunan kepada kementerian untuk menyokong aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah 23rd Sibu Amateur Open Golf Championship 2026 di Kelab Golf Sibu, hari ini.
Ujarnya lagi, walaupun Kelab Golf Sibu merupakan kelab persendirian, kos untuk mengurus dan mengekalkan aktiviti serta kemudahan golf bukan sesuatu yang mudah, justeru sokongan kerajaan dan sektor swasta penting bagi memastikan sukan berkenaan terus berkembang.
Beliau turut melihat Kelab Golf Sibu mempunyai asas yang kukuh untuk berkembang selepas berjaya bertahan lebih lima dekad sejak penubuhannya.
“Sibu mempunyai ramai individu yang begitu bersemangat dan mencintai sukan ini. Mengekalkan keseluruhan padang golf bukan sesuatu yang mudah. Jadi, kita perlu bekerjasama, kerajaan bersama sektor swasta, untuk memberikan sokongan,” tambahnya.
Menurutnya, aspek kemudahan juga boleh diberi perhatian sekiranya Sibu menganjurkan kejohanan lebih besar pada masa akan datang, termasuk keadaan padang serta kemudahan di kelab golf.
Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga sedang memperluas kemudahan golf di Sarawak dengan tiga padang golf baharu yang telah diluluskan, termasuk di kawasan Kuching, Belawai dan Beraya di Miri.
Beliau berharap Kelab Golf Sibu dapat terus meningkatkan kemudahan dan mutu penganjuran bagi membolehkan lebih banyak kejohanan berprestij diadakan di Sibu pada masa akan datang.
Pada kejohanan itu, Anson Yeo Boon Xiang muncul juara kategori Lelaki Gross dengan catatan 206 pukulan, manakala Livia Lau Kiew Lin menjuarai kategori Wanita Gross dengan 239 pukulan.
Roslan Kassim pula memenangi kategori Lelaki Nett dengan 137 pukulan, sementara Lau Jie Tin Miki muncul juara Wanita Nett dengan 137 pukulan, serta beberapa kategori lain.-TVS

1 hour ago
5








English (US) ·