SMK Asajaya lahirkan 170 pelajar ke universiti

58 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

ASAJAYA, 26 Sept: Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya dilihat semakin menyedari kepentingan pendidikan apabila kira-kira 170 pelajar daripada sekolah berkenaan melanjutkan pengajian ke universiti pada tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu membuktikan masyarakat setempat semakin melihat pendidikan sebagai medium penting untuk meningkatkan taraf kehidupan individu dan keluarga.

Menurutnya, pencapaian pelajar SMK Asajaya itu amat membanggakan walaupun sekolah berkenaan tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang begitu baik.

“Tiap-tiap tahun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, SMK Asajaya telah mampu menghasilkan pelajar yang mampu memasuki universiti awam di Malaysia.

“Tahun lalu sahaja, jika tidak silap saya, lebih kurang 170 pelajar dari sekolah itu sahaja memasuki universiti dalam tempoh satu tahun. Jadi anda boleh lihat, komuniti disini telah mula melihat kepentingan pelajaran dalam mengangkat taraf hidup keluarga dan individu itu sendiri disini, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-100, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sambir pada malam Jumaat.

Ujarnya, pencapaian tersebut menunjukkan usaha menyemai kesedaran mengenai kepentingan ilmu dan pendidikan dalam kalangan masyarakat telah memberikan kesan kepada generasi muda di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun dari segi infrastruktur SMK Asajaya mungkin tidak berada pada tahap yang begitu baik, sekolah itu tetap mampu mencatat pencapaian akademik yang baik secara konsisten.

Katanya, kejayaan pelajar melanjutkan pengajian ke universiti turut mencerminkan kesungguhan masyarakat Asajaya dalam memastikan generasi muda mendapat pendidikan yang mampu membuka peluang lebih luas untuk masa depan mereka.

Menurutnya, kesedaran terhadap kepentingan pendidikan yang telah dipupuk sejak generasi terdahulu kini dapat dilihat melalui perubahan dan perkembangan masyarakat di kawasan berkenaan.  – TVS

Read Entire Article