SOE Sarawak berpotensi jana RM9.62 bilion hasil tambahan menjelang 2030

8 hours ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 22 Sept: Syarikat Milik Kerajaan Negeri (SOE) berpotensi menjana RM9.62 bilion hasil tambahan menjelang 2030 menerusi pelaksanaan inisiatif transformasi fasa kedua.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berdasarkan unjuran yang disatukan ketika penilaian dibuat, inisiatif berkenaan turut berpotensi menjana RM1.6 bilion keuntungan selepas cukai terlaras serta kira-kira RM1.27 bilion dividen antara 2027 hingga 2030.

“Ini merupakan angka yang menggalakkan. Namun, saya ingin jelaskan bahawa angka ini adalah unjuran dan bukan pencapaian.

“Nilai sebenar bergantung kepada sejauh mana ia diterjemahkan kepada hasil,” katanya ketika berucap pada Sarawak SOEs Transformation Programme – Phase 2: A Pledge for Good Governance, High Performance & Value Creation di sini, hari ini.

Katanya, transformasi itu tidak boleh hanya bergantung kepada beberapa entiti besar seperti Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), sebaliknya setiap entiti perlu meningkatkan prestasi berdasarkan kedudukan masing-masing.

Tambahnya, setiap entiti perlu meningkatkan prestasinya berdasarkan kedudukan permulaannya sendiri.

“Peningkatan sebanyak RM5 juta bagi sesebuah entiti mungkin sama signifikan dengan peningkatan RM500 juta bagi entiti yang lain, bergantung kepada mandat, keupayaan dan kedudukan awal masing-masing.

Menurutnya, transformasi fasa kedua melibatkan 32 badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan merentasi 17 sektor, dengan setiap entiti mempunyai mandat, model perniagaan dan cabaran yang berbeza.

Abang Johari dalam masa sama menambah, fasa kedua memberi penekanan kepada pemilikan strategi dan inisiatif oleh entiti itu sendiri, selepas fasa pertama memberi tumpuan kepada penilaian kedudukan kewangan, mengenal pasti jurang serta hala tuju transformasi. – TVS

Read Entire Article