Sokongan komuniti penting bantu keluarga berkeperluan khas

2 hours ago 3
ADVERTISE HERE

MIRI, 20 Sept: Usaha membina komuniti yang inklusif memerlukan penglibatan bersama keluarga, sekolah, organisasi masyarakat, sektor perniagaan, sukarelawan dan orang awam bagi memastikan golongan berkeperluan khas terus mendapat ruang serta peluang dalam kehidupan bermasyarakat.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, masyarakat inklusif tidak boleh dibentuk oleh kerajaan atau mana-mana organisasi secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

“Komuniti inklusif bukan sesuatu yang boleh dibina oleh kerajaan sahaja. Ia memerlukan keluarga, sekolah, organisasi masyarakat, perniagaan, sukarelawan, golongan profesional dan orang awam untuk bersama-sama memastikan setiap individu dihormati, diberi ruang dan mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam masyarakat.

“Pemahaman merupakan langkah pertama ke arah inklusiviti. Dengan pemahaman yang lebih baik, kita dapat membina masyarakat yang lebih empati, menerima perbezaan dan saling menyokong,” katanya ketika merasmikan Miri Special Needs Fest 2026 di Event Hall, PermyMall Miri, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, program berkenaan menyediakan platform kepada komuniti berkeperluan khas dan keluarga mereka untuk berinteraksi serta menjadi sebahagian daripada masyarakat yang lebih luas.

Katanya, penganjuran program itu turut memberi peluang kepada orang awam memahami pengalaman, keupayaan dan keperluan golongan berkeperluan khas dengan lebih dekat.

“Inklusiviti bukan sekadar satu idea, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan. Setiap individu mempunyai nilai dan perbezaan yang ada pada seseorang tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mereka dihormati, diterima dan diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam masyarakat,” tambahnya.

Menurutnya, sokongan masyarakat juga penting bagi memastikan keluarga yang berdepan cabaran tersebut tidak berasa bersendirian.

“Bagi ibu bapa dan penjaga, kita mengiktiraf komitmen, kesabaran dan kasih sayang yang diberikan kepada ahli keluarga mereka. Komuniti perlu menjadi sebahagian daripada rangkaian sokongan kepada keluarga ini,” katanya.

Program itu turut menghimpunkan sukarelawan, guru, penjaga, rakan komuniti serta pelbagai organisasi yang bersama-sama menjayakan aktiviti untuk komuniti berkeperluan khas.

Seramai 40 penggaya rambut yang terlibat dalam program berkenaan turut menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada kanak-kanak berkeperluan khas, dengan hasil sumbangan mereka turut disalurkan bagi menyokong komuniti berkenaan.

“Saya berharap semangat yang kita lihat hari ini dapat diteruskan supaya inklusiviti menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita,” katanya. – TVS

Read Entire Article