ADVERTISE HERE
MIRI, 21 Sept: Status Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu diterjemahkan kepada limpahan ekonomi yang lebih besar kepada komuniti setempat menerusi pembangunan produk dan pengalaman pelancongan.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, kehadiran pelancong perlu dimanfaatkan masyarakat dengan menyediakan produk, makanan, cenderamata dan pengalaman yang boleh menjana pendapatan.
“Apabila pelancong datang, mereka bukan sahaja mencari pengalaman, tetapi juga memerlukan produk, cenderamata, makanan dan cerita yang boleh dibawa pulang,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Latihan Park Guide di Taman Negara Niah, dekat sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, berdasarkan rekod Sarawak Forestry Corporation (SFC), Taman Negara Niah menerima 29,426 pengunjung pada 2025, terdiri daripada 26,067 pelancong tempatan dan 3,329 pelancong antarabangsa.
Katanya, jumlah kunjungan itu menunjukkan wujudnya potensi besar untuk komuniti membangunkan rantaian nilai pelancongan yang lebih menyeluruh.
“Kalau kita mempunyai produk-produk yang lebih menarik, saya yakin jumlah perbelanjaan pelancong akan meningkat berlipat kali ganda.
“Komuniti perlu menyediakan produk dan pengalaman supaya pelancong bukan sahaja datang, tetapi turut berbelanja dan membawa pulang sesuatu sebagai kenangan,” tambahnya.
Beliau turut menggalakkan Park Guide menggunakan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk mempromosikan keunikan Niah kepada pasaran lebih luas.
Park Guide juga katanya berperanan sebagai pencerita yang mampu mengetengahkan sejarah, warisan, arkeologi dan keunikan alam semula jadi Niah kepada pengunjung.
“Paling penting ialah penyertaan komuniti tempatan kerana Gua Niah bukan hanya milik pihak pengurusan, tetapi turut menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat setempat,” katanya.
Seramai 20 peserta berjaya menamatkan Program Latihan Park Guide yang berlangsung selama 18 hari dari 5 hingga 22 September.
Latihan itu melibatkan lapan pemegang taruh dengan 11 peserta daripada komuniti tempatan mewakili tujuh kampung berhampiran, manakala sembilan lagi peserta berasal dari Miri.
Program berkenaan merangkumi tujuh modul di bawah Generic Park Guide Training Module dan sembilan modul di bawah Park Product Training Module.
Tiga modul utama yang memberi fokus kepada Taman Negara Niah ialah pengenalan Taman Negara Niah termasuk perjalanan menuju status Tapak Warisan Dunia UNESCO, pemuliharaan burung layang-layang serta penyelidikan arkeologi.
Beliau menggesa peserta yang bakal menerima lesen Park Guide supaya terus aktif dan meningkatkan pengetahuan, disiplin, integriti serta kemahiran masing-masing.
“Jadilah Park Guide yang berpengetahuan, berdisiplin, berintegriti dan berkaliber. Pada masa yang sama, jadilah duta kecil Taman Negara Niah yang mampu memperkenalkan keunikan, sejarah, warisan dan keindahan alam semula jadi kawasan ini kepada pengunjung dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Taman Negara Niah dijangka dibuka semula seawal Oktober, sekali gus memberi ruang kepada Park Guide dan komuniti setempat untuk merebut peluang yang tersedia. – TVS

2 hours ago
5








English (US) ·