ADVERTISE HERE
KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bercadang untuk mengenakan surcaj ke atas isi rumah yang menggunakan air terawat untuk kegunaan domestik melebihi 35,000 liter sebulan di negeri itu.
Menterinya Datuk Seri Julaihi Narawi berkata langkah itu bagi mengurangkan pembaziran air yang dibekalkan ekoran kementeriannya kini mencatatkan penggunaan sebanyak 26,880 liter setiap isi rumah sebulan.
“Kita melihat penggunaan air yang berlebihan sebab kalau kita lihat United Nation (Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu) mencadangkan supaya penggunaan air adalah sebanyak 19,800 liter bagi setiap isi rumah setiap bulan,“ katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas menggulung perbahasan untuk kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, beliau berkata tarif air di Sarawak adalah antara yang terendah di negara ini, berikutan jumlah subsidi yang diperuntukkan kerajaan negeri.
“Kos pengeluaran air terawat lebih tinggi tetapi tarif yang dikenakan adalah rendah,“ katanya sambil menambah jumlah surcaj ini sedang dimuktamadkan.
Julaihi berkata kementeriannya juga dalam proses untuk menggantikan paip air lama sepanjang 2,742 kilometer di seluruh Sarawak dengan paip baru bagi menyelesaikan isu air tidak terhasil.
“Paip lama ini tidak dapat menahan tekanan air yang berlaku dari semasa ke semasa menyebabkan kebocoran di sana sini dan kerajaan Sarawak bersetuju untuk menaik taraf dan menggantikan paip lama ini secara berfasa bermula tahun hadapan,“ katanya.
Menurutnya untuk Belanjawan 2024 ini, kementerian diperuntukkan sejumlah RM1.03 bilion bagi tujuan pembangunan utiliti khususnya untuk kawasan luar bandar negeri ini. -Bernama