ADVERTISE HERE
KUCHING, 12 Sept: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencuri kabel di Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuching di kawasan Kampung Bintawa Ulu kira-kira jam 5.40 petang.
Menurutnya, penahanan itu susulan satu laporan polis yang dibuat pada hari sama berhubung kejadian individu mencuri kabel seperti dipaparkan dalam rakaman video berdurasi 25 saat yang tular di media sosial.
“Hasil siasatan mendapati kejadian sebenarnya berlaku pada Khamis kira-kira jam 8.30 pagi, apabila suspek dipercayai merosakkan kabel menggunakan seunit tukul.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau, manakala saringan awal ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Alexson turut menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sjn Mancha Gubak di talian 019-5958260 atau Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444.-TVS

2 hours ago
4








English (US) ·