ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Sept: Kemajuan teknologi dan keterhubungan global perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan budaya serta identiti tempatan dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kanak-kanak perlu dipersiapkan menghadapi masa depan yang dipacu teknologi, inovasi dan perubahan, namun pada masa sama memahami asal-usul, budaya serta identiti mereka.
Katanya, keterlibatan di peringkat antarabangsa tidak bermakna Sarawak perlu mengorbankan jati diri, sebaliknya generasi muda perlu mempunyai keyakinan untuk bersaing di peringkat global berlandaskan identiti Sarawak.
“Teknologi akan berubah tetapi kualiti manusia akan kekal penting. Kebudayaan, kepelbagaian budaya dan bahasa di Sarawak akan tetap menjadi kekuatan utama kita.
“Anak-anak kita harus membesar dengan mengetahui siapa diri mereka, memahami dari mana mereka datang serta menghormati budaya dan identiti kaum lain,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Konvensyen Antarabangsan Prasekolah Sarawak (SPIC) 2026 di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, konvensyen berkenaan turut memberi ruang kepada Sarawak mempelajari pengalaman dan pengetahuan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak dari seluruh dunia.
Pada masa sama, katanya, Sarawak mempunyai pengalaman tersendiri yang boleh dikongsikan di peringkat antarabangsa, khususnya berkaitan kepelbagaian budaya, bahasa dan cara hidup masyarakat.
Katanya, pengalaman berkenaan boleh menjadi asas untuk menyesuaikan pendekatan pendidikan awal kanak-kanak dengan keperluan tempatan, selain membangunkan penyelesaian sendiri bagi memperkukuh sektor berkenaan.
“Pertukaran pengetahuan menerusi konvensyen ini diharap dapat menyumbang kepada dasar yang lebih baik, institusi lebih kukuh, pendidikan berkualiti, penyelidikan yang bermakna serta kerjasama lebih erat,” katanya.

1 day ago
10








English (US) ·