Teknologi tambak laut pacu pembangunan Pelabuhan Miri

56 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

MIRI, 13 Sept: Penggunaan teknologi kejuruteraan dalam pembangunan kawasan tambak laut menjadi antara pendekatan penting bagi memperluas kapasiti Pelabuhan Miri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan kawasan tersebut membolehkan infrastruktur pelabuhan diperluas meskipun berdepan kekangan ruang daratan.

Menurut beliau, pembangunan tanah tambak di kawasan berhadapan laut perlu dilaksanakan berasaskan ilmu dan teknologi, termasuk mengambil kira aspek hidrologi serta pergerakan mendapan.

“Kalau kita bangunkan, kita guna teknologi. Ilmu apabila dibawa kepada rakyat, tanah-tanah kita boleh tumbuh berdepan dengan laut.

“Daripada sudut ilmu hidrologi, deposit pasir ada di sini. Maka depositnya di luar channel, sebab itu tanah akan tumbuh di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Khas Parti Bersatu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, pembangunan tersebut membolehkan Pelabuhan Miri diperluas dan meningkatkan keupayaan kapal untuk berlabuh serta menjalankan aktiviti perdagangan.

Beliau turut menegaskan bahawa hasil pembangunan infrastruktur perlu memberi manfaat kepada rakyat dan negeri dalam jangka panjang.

Katanya, pendekatan pembangunan berasaskan teknologi dan ilmu akan terus menjadi sebahagian daripada strategi Sarawak dalam memanfaatkan sumber serta kekayaan yang dianugerahkan kepada negeri ini. – TVS

Read Entire Article