ADVERTISE HERE
KUCHING, 21 Sept: Tiga warga Indonesia ditahan Sarawak Forestry Corporation (SFC) kerana disyaki menceroboh Rizab Semulajadi Matang (Matang Nature Reserve) tanpa kebenaran sah, semalam.
Tangkapan dilakukan Renjer SFC dalam satu operasi penguatkuasaan selepas ketiga-tiga suspek dikesan berada dalam kawasan rizab berkenaan.
Menurut kenyataan SFC, operasi itu turut membawa kepada rampasan satu unit jaring kabus (mist net), dua bilah parang, sebuah sangkar burung dan satu balang plastik yang mengandungi ikan.
“Kesemua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sentral Kuching untuk tindakan lanjut.
“Pada pagi ini, permohonan reman selama empat hari dibuat di Mahkamah Majistret Kuching bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan dan ketiga-tiga suspek direman sehingga 25 September 2026.
SFC menegaskan sebarang pencerobohan, kemasukan tanpa kebenaran atau aktiviti tidak sah di kawasan terlindung sepenuhnya (TPAs) merupakan kesalahan serius dan tidak akan dipandang ringan.
SFC turut akan terus mempergiat rondaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi melindungi kawasan rizab semula jadi, habitat hidupan liar serta biodiversiti Sarawak daripada aktiviti menyalahi undang-undang.-TVS

12 hours ago
4








English (US) ·