ADVERTISE HERE
KUCHING, 4 Dis: Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan Mantan Perdana Menteri Ke-6 Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak satu impian menjadi realiti.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kedua-dua pemimpin ini adalah individu yang memperjuangkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
“Tok Nan tidak bersama dengan kita malam ini, tetapi impiannya sudah menjadi realiti.
“Inilah sumbangan Tok Nan kepada rakyat Sarawak,” kata Abang Johari di Majlis Makan Malam “Lebuhraya Pan Borneo—Impian Jadi Realiti” di Kuching malam tadi.
Dengan terbinanya Lebuhraya Pan Borneo, tambah Abang Johari, penduduk Negeri ini dapat menikmati satu jaringan jalanraya yang selesa.
Katanya, ia juga membantu melonjakkan ekonomi negeri dan penduduk Sarawak.
Terdahulu Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam ucapannya berkata, projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kini telah mencapai kemajuan 98 peratus.
Kerajaan, katanya, menyasarkan pada penghujung tahun ini kesemua jajaran lebuhraya ini dibuka sepenuhnya kepada orang awam.
“Sehingga ke hari ini, sebanyak 19 daripada 25 seksyen lebuhraya ini telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam.
“Manakala seksyen Bukit Begunan yang terletak di bawak Pakej Kontrak Kerja 04 dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung Disember ini,” ujarnya.
Sementara itu, tambah Nanta , lima seksyen iaitu seksyen Sarikei (WPC06), Tatau dan Bintulu (WPC10), Beluru dan sepanjang 34.5 kilometer seksyen Lambir (WPC11) akan siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun 2024. — DayakDaily