TVS, RT perkukuh kerjasama kandungan dan latihan media

54 minutes ago 2
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 14 Sept: TV Sarawak (TVS) di bawah Sarawak Media Group (SMG) dan Russia Today (RT) terus meneroka potensi kerjasama bagi memperluas capaian kandungan dari Malaysia dan rantau ASEAN kepada audiens di Rusia serta peringkat antarabangsa.

Ketua Pejabat Perwakilan RT Indonesia dan ASEAN, Denis Bolotsky berkata, kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada RT untuk mengetengahkan kandungan dari Sarawak yang mempunyai nilai dan tarikan kepada audiens antarabangsa.

“Kami bukan sahaja berminat untuk membolehkan penonton di Sarawak mendapatkan berita kami, tetapi pada masa sama kami juga mendapat banyak manfaat daripada mengetahui apa yang berlaku di Sarawak.

“Kami telah menerima sumbangan daripada wartawan TVS dan menyiarkan Regata Sarawak. Sesetengah acara itu relevan kepada audiens antarabangsa dan kami mahu penonton kami di seluruh dunia serta ASEAN melihatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi pertemuan ringkas bersama Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Kushairi Abang, di sini, hari ini bagi membincangkan potensi kerjasama antara kedua-dua syarikat media berkenaan.

Pertemuan itu susulan kejayaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara TVS dan RT yang ditandatangani pada 4 Julai 2025 yang meliputi pertukaran kandungan dan berita, liputan berita antarabangsa, latihan media, perkongsian pengetahuan serta penerokaan potensi penerbitan bersama.

Denis dalam pada itu berkongsi kerjasama berkenaan turut boleh diperluas menerusi RT Academy sebagai platform perkongsian pengalaman dan pengetahuan antara pasukan editorial kedua-dua organisasi.

Menurutnya, RT Academy bukan sahaja memberi peluang kepada pihaknya berkongsi pengalaman dalam pengoperasian bilik berita di peringkat global, malah membolehkan RT memahami dengan lebih baik perspektif serta keutamaan penonton di rantau ASEAN.

“RT Academy ialah peluang yang baik untuk kami bukan sahaja berkongsi apa yang kami lakukan, membawa kakitangan newsroom, koresponden dan penerbit serta menunjukkan kepada rakan-rakan di TVS bagaimana kami beroperasi di peringkat global, tetapi juga untuk belajar daripada anda.

“Oleh sebab kami menyasarkan audiens ASEAN, kami mahu memahami pemikiran masyarakat, apa yang penonton suka dan perkara yang mereka lebih gemar lihat di skrin. Ia juga satu pengalaman pembelajaran untuk kami. Jadi, ia adalah kerjasama dua hala,” ujarnya.

Denis berkata, RT sebelum ini telah menganjurkan dua RT Academy di Indonesia selain menyediakan program berkenaan dalam format dalam talian.

Menurutnya, kerjasama dengan organisasi penyiaran dari negara anggota atau rakan BRICS, termasuk Indonesia dan Malaysia, turut membolehkan RT mendapatkan perspektif berbeza daripada negara-negara selatan (Global South) dalam penghasilan kandungan berita.

Katanya, perkara itu semakin relevan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-18 yang berlangsung di New Delhi, India pada 12 dan 13 September, dengan BRICS kini menghimpunkan negara-negara ekonomi sedang pesat membangun dari Asia, Afrika, Timur Tengah dan Amerika Selatan.

Menurutnya, kerjasama media dalam kalangan negara berkenaan memberi ruang untuk mengetengahkan sudut pandang yang berbeza daripada naratif media arus perdana antarabangsa.

“Kami melihat sudut yang berbeza sepenuhnya. Kami bercakap dan menggunakan bahasa yang sama. Kami bukan media arus perdana antarabangsa, slogan kami ialah (untuk) ‘Question More’, dan saya fikir ia sangat dekat dengan rakan-rakan kami,” jelasnya.-TVS

Read Entire Article