ADVERTISE HERE
MIRI, 20 Sept: Program WOW SmartCut Gaya N75 Senadin mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melakar rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan seramai 1,370 individu.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan komuniti Miri menghimpunkan pelbagai pihak untuk menjayakan satu inisiatif berskala besar.
“Pencapaian ini bukan milik seorang individu, tetapi hasil sumbangan semua pihak yang terlibat, khususnya 40 rakan kerjasama yang memberikan masa, tenaga dan komitmen untuk menjayakan program ini,” katanya ketika merasmikan Miri Special Needs Fest 2026 di Event Hall, PermyMall Miri, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, kejayaan itu turut memperlihatkan bagaimana penglibatan komuniti dan sektor swasta dapat digabungkan dalam menjayakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, 40 penggaya rambut yang mengambil bahagian bukan sahaja menyumbangkan kepakaran, malah turut menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada komuniti berkeperluan khas.
“Apa yang lebih bermakna ialah pencapaian ini bukan sekadar tentang mencatat rekod. Ia menunjukkan bahawa apabila kita bekerjasama, kita mampu menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat,” tambahnya.
Menurutnya, setiap pihak mempunyai peranan dan keupayaan tersendiri untuk menyumbang kepada komuniti, tanpa mengira saiz organisasi atau latar belakang.
Beliau berharap pencapaian berkenaan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program berasaskan kerjasama komuniti pada masa hadapan.
“Saya berharap semangat yang ditunjukkan hari ini akan diteruskan. Rekod ini boleh menjadi satu pencapaian, tetapi yang lebih penting ialah semangat kerjasama dan usaha membantu masyarakat yang lahir daripada program ini,” katanya.
Program WOW SmartCut Gaya N75 Senadin yang berlangsung pada Julai lalu menghimpunkan seramai 40 penggaya rambut bagi menjayakan inisiatif berkenaan, dengan hasil sumbangan turut disalurkan kepada komuniti berkeperluan khas. – TVS

1 hour ago
7








English (US) ·