KUCHING: Sejumlah 15 jawatan di bawah Tribunal Anti Gangguan Seksual (AGS) diluluskan dan diisi setakat ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.
Beliau berkata, semuanya dilantik hari ini dan akan mula menjalankan sesi simulasi bagi menyesuaikan diri dengan tribunal itu.
“Tribunal AGS kita dijangka bermula akhir tahun ini setelah ahli tribunal dilantik sepenuhnya, dengan simulasi dijangka bermula bulan ini,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) di sini, malam ini.
Menurutnya, sesi simulasi itu dijadualkan bermula dengan pelantikan presiden dan timbalan presiden daripada perkhidmatan perundangan serta kehakiman.
Dalam pada itu, katanya, KPWKM menyalurkan bantuan kebajikan berjumlah RM2.266 bilion melibatkan 531,439 kes sehingga bulan lalu.
Beliau berkata, penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) menjadi pencapaian terbesar KPWKM tahun ini.
JPKK yang ditubuhkan 1 Sept lalu bertujuan menggantikan Bahagian Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat serta jalan penyelesaian dalam menangani isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak.
Sementara itu, katanya, Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe), termasuk Program Saringan Kanser Serviks dan Subsidi Ujian Mamogram memanfaatkan 69,938 wanita di seluruh negara setakat ini.