ADVERTISE HERE
KUCHING, 21 Sept: Penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dilihat sebagai peluang besar untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam kepimpinan politik negeri.
Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu bukan sekadar memenuhi angka, tetapi manifestasi komitmen kerajaan untuk memberi ruang lebih luas kepada wanita tampil sebagai pemimpin dan pelapis generasi akan datang.
“Mengapa kita meletakkan siling kepada diri sendiri? Kita sepatutnya mempunyai seramai-ramai yang boleh.
“Kalau 17 kerusi itu sudah mendapat kelulusan,maka perlu ditingkat juga ratio wanita dalam penyertaan kepimpinan dari segi politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Program Power & Presence Bootcamp di Pustaka Negeri Sarawak hari ini.
Nancy menambah, penyertaan wanita dalam tenaga kerja di peringkat persekutuan kini berada pada kadar 56.6 peratus dengan sasaran 60 peratus menjelang 2030.
Justeru, peluang kerusi baharu ini perlu dimanfaatkan bagi melatih lebih ramai wanita sebagai pelapis kepimpinan.
Beliau turut menekankan bahawa keseimbangan jantina dalam politik mampu membawa suasana lebih seimbang, sekali gus mengurangkan ketegangan dalam arena politik yang sering didominasi lelaki.
“Kalau terlalu ramai satu jantina sahaja, keseimbangan itu akan kurang. Maka kita perlu menggalakkan lebih ramai wanita,” jelasnya.
Di Sarawak, katanya, penyertaan wanita dalam pelbagai program pembangunan menunjukkan wajah dan pendekatan berbeza, sesuatu yang membanggakan dan perlu diteruskan.
Nancy menegaskan, usaha melatih pelapis kepimpinan wanita adalah kewajipan bersama agar kesinambungan kepimpinan dapat diteruskan, selari dengan aspirasi negara membina masyarakat inklusif dan progresif. – TVS

1 hour ago
5








English (US) ·