ADVERTISE HERE
MIRI, 21 Sept: Projek Kerja-kerja Pengorekan Kuala Baram dan kerja Berkaitan yang dilaksanakan oleh Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) kini mencapai kira-kira 90 peratus siap, sekali gus mendahului jadual ditetapkan dalam kontrak.
MPA dalam satu kenyataan berkata perkembangan itu dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, ketika beliau mengadakan lawatan ke tapak projek di Kuala Baram, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Datuk Majang bersama pegawai Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) diberi taklimat oleh Pengurus Besar MPA, Serawa Budol, perunding projek serta kontraktor berhubung perkembangan semasa projek.
Beliau turut meninjau kemajuan fizikal kerja-kerja yang sedang dilaksanakan di tapak.
MPA berkata, kemajuan kira-kira 90 peratus itu menunjukkan projek berkenaan berada pada landasan baik dan mendahului jadual seperti ditetapkan dalam kontrak.
Lawatan berkenaan turut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak melalui MIPD dalam memastikan pembangunan sektor pelabuhan dilaksanakan secara terancang, responsif terhadap keperluan industri serta selaras dengan aspirasi Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Menurut MPA, pihak berkuasa pelabuhan di Sarawak akan terus meningkatkan kapasiti, kecekapan operasi dan kelestarian bagi memperkukuh daya saing sektor pelabuhan.
Usaha itu penting bagi memperkukuh peranan pelabuhan Sarawak sebagai antara pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri. – TVS

1 day ago
11








English (US) ·