ADVERTISE HERE
MIRI, 24 Sept: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita lima kenderaan selepas mengesan pelbagai kesalahan dalam pemeriksaan terhadap 375 kenderaan menerusi Ops Extreme dan Ops Motosikal di Jalan Kipas, di sini, semalam.
Operasi statik itu dilaksanakan Unit Operasi JPJ Miri dan dipantau Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Malaysia, Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan.
Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat dan Ketua Cawangan JPJ Miri, Nurul Fairezzah Safri.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, lesen memandu tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Selain itu, kesalahan berkaitan aspek teknikal kenderaan turut dikesan sepanjang operasi berkenaan.
“Dalam operasi sama, JPJ menyita tiga motosikal dan dua kereta atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans,” menurut kenyataan itu.
Semua tindakan penguatkuasaan dan sitaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
JPJ Sarawak menasihatkan pemilik dan pengguna kenderaan memastikan lesen memandu, LKM serta perlindungan insurans sentiasa sah, selain memastikan nombor pendaftaran dan keadaan teknikal kenderaan mematuhi spesifikasi ditetapkan.

3 hours ago
7








English (US) ·