ADVERTISE HERE
KUCHING, 24 Sept: Hubungan Malaysia-China berkembang menjadi perkongsian penting berasaskan saling menghormati, kerjasama ekonomi dan hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata bagi Sarawak, hubungan dengan China mempunyai dimensi lebih mendalam berikutan masyarakat Cina menjadi sebahagian penting sejarah dan pembangunan negeri itu sejak beberapa generasi.
“Sumbangan masyarakat Cina dalam bidang perdagangan, industri, pendidikan, perkhidmatan profesional dan pembangunan komuniti telah membentuk Sarawak seperti yang dikenali hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, pada majlis resepsi sempena ulang tahun ke-77 penubuhan Republik Rakyat China anjuran Konsulat Jeneral China, di sini malam ini.
Abang Johari berkata, pendekatan Sarawak dalam hubungan antarabangsa adalah mengalu-alukan kerjasama yang mampu mewujudkan nilai bersama serta memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan rakyat.
Katanya, Sarawak kini memasuki fasa penting transformasi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menjadi hala tuju jangka panjang untuk menjadikan negeri itu maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“China kekal sebagai rakan penting kepada Sarawak. Kekuatan China dalam bidang pembuatan maju, tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, infrastruktur dan inovasi melengkapi banyak keutamaan pembangunan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, antara keutamaan utama PCDS 2030 ialah pembangunan ekonomi hijau dan mampan, dengan Sarawak memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang besar, khususnya tenaga hidro.
Beliau berkata, Sarawak kini turut meneroka peluang baharu dalam bidang hidrogen, tenaga solar, penyimpanan tenaga dan teknologi bersih lain.
“Kepakaran dan keupayaan teknologi China boleh melengkapi sumber serta aspirasi Sarawak, manakala Sarawak pula mampu menyediakan platform strategik kepada syarikat yang ingin meneroka peluang dalam rantau ASEAN,” katanya.
Abang Johari berkata, pengalaman luas China dalam pembangunan industri dan pembentukan ekosistem ekonomi bersepadu turut membuka ruang untuk meningkatkan kerjasama antara syarikat China dengan sektor swasta Sarawak.
“Kita mengalu-alukan kerjasama yang membolehkan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengambil bahagian dalam rantaian nilai baharu,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggalakkan rakyat Sarawak meneroka peluang di pasaran China kerana perkongsian yang berjaya perlu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurutnya, kedudukan geografi Sarawak di tengah Borneo dan dalam rantau ASEAN turut memberi peluang kepada negeri itu untuk menjadi platform hubungan ekonomi lebih luas antara China dan Asia Tenggara.
Katanya, dengan sumber tenaga boleh diperbaharui, kesalinghubungan yang semakin baik, infrastruktur digital yang berkembang serta asas industri yang kukuh, Sarawak berupaya memainkan peranan lebih aktif dalam rantaian bekalan serantau.
“Kita mengalu-alukan kerjasama lebih erat dengan syarikat dan institusi China yang melihat ASEAN sebagai destinasi pertumbuhan seterusnya,” katanya.

2 hours ago
3








English (US) ·