45 graduan semikonduktor Sarawak dapat pekerjaan

47 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

KUCHING, 15 Sept: Pembangunan bakat semikonduktor Sarawak mula menunjukkan hasil apabila 45 graduan Program Semiconductor Mastery CENTEXS-SMD berjaya mendapat pekerjaan dalam industri, manakala pelajar tempatan turut menghasilkan cip pertama menerusi SMD IC Design Competition 2025.

Pengerusi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, kesemua 45 graduan program berkenaan kini bekerja dengan syarikat terkemuka dalam industri semikonduktor termasuk SMD Semiconductor, Melexis dan X-FAB.

“Kesemua 45 graduan mendapat pekerjaan dalam syarikat terkemuka industri semikonduktor, membuktikan keberkesanan program ini dalam melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk industri,” katanya ketika berucap pada Sarawak Semiconductor Flagship Programme di CENTEXS, hari ini.

Menurutnya, perkembangan itu membuktikan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, selari dengan perubahan industri semikonduktor yang kini semakin tertumpu kepada reka bentuk, inovasi dan aktiviti bernilai tinggi.

Sementara itu, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, SMD IC Design Competition 2025 memberi peluang kepada lebih 60 peserta daripada 16 institusi tempatan mengaplikasikan pengetahuan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) sehingga ke peringkat fabrikasi.

Beliau yang juga Pengerusi SMD Semiconductor menjelaskan, cip pertama yang direka oleh pelajar menerusi pertandingan itu kini berjaya dihasilkan, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam pembangunan bakat semikonduktor tempatan.

“Ini merupakan satu pencapaian penting kerana ia membuktikan dengan platform, bimbingan dan peluang yang tepat, anak muda Sarawak mempunyai bakat bertaraf tinggi dan mampu membawa apa yang dipelajari kepada reka bentuk cip sebenar,” ujarnya.

Wan Lizozman berkata, gabungan latihan, pengalaman praktikal dan pendedahan kepada industri penting dalam membangunkan generasi baharu tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem semikonduktor Sarawak.

Perkembangan itu memperlihatkan ekosistem pembangunan bakat Sarawak kini bergerak daripada fasa latihan kepada penghasilan teknologi sebenar, selain menyediakan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor bernilai tinggi.-TVS

Read Entire Article