ADVERTISE HERE
KUCHING, 2 Jan: Tujuh tadika dan empat taska baharu bakal beroperasi pada tahun 2024, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurut beliau, ia bakal memberi akses tambahan kepada usaha menyediakan pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.
“Ini adalah usaha kerajaan dalam memberi akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.
“Dengan ini ramai kanak-kanak akan dapat peluang kepada pendidikan awal,” katanya pada lawatan ke Taska Tempat Kerja Sedidik di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, hari ini.
Menurut Fatimah, akses kepada pendidikan awal di Sarawak kini berada di tahap 98 peratus.
Katanya, peratusan tersebut meningkat setiap tahun hasil usaha kerajaan meningkatkan jumlah tadika dan taska.
Setakat tahun lepas ujar Fatimah, terdapat sebanyak 20 buah taska telah diwujudkan yang memberi sokongan kepada ibubapa bekerja.
“Harapan kita agar banyak lagi taska tempat kerja diwujudkan kerana ia merupakan satu sistem sokongan yang diperlukan oleh ibubapa bekerja,” kata Fatimah.
Tujuh tadika baharu yang bakal beroperasi pada 2024 ialah Tadika Sedidik Taman Merdang di Samarahan, Tadika Sedidik Bintulu, Tadika Star Wonderful di Kuching, Tadika Super Good Kids Samarahan, Tadika Mutiara Kasih Samarahan, Tadika sedidik Rumah Seliau di Selangau, Tadika sedidik Long Tebali di Baram.
Manakala empat taska baharu ialah Taska UiTM Samarahan, Taska Baitulmakmur Kuching, Taska Sedidik Betong dan Taska PPKS di Kuching. — DayakDaily