ADVERTISE HERE
Oleh Chris Bishop
GEDONG, 22 Sep: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akui beliau kini sibuk dengan jemputan untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang ekonomi baharu.
“Pada masa sekarang seluruh dunia menjemput saya untuk membuat syarahan berkaitan tenaga hidrogen sebagai ekonomi baharu.
“Dua minggu lepas saya di Singapura, sekarang negara Azerbaijan menjemput saya membuat pandangan saya mengenai pengurusan alam sekitar di ibu negara Baku.
“Terpaksalah pergi dengan penerbangan 8 jam dan balik lagi 8 jam,” kata Abang Johari di Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 2024 di Dewan Patinggi Ali di sini, hari ini.
Tambah beliau, Sarawak mengutamakan kelestarian alam sekitar dalam hal-hal pengurusan negeri.
Dari sudut ilmu sains katanya, hidrogen adalah sumber tenaga paling bersih.
“Tuhan beri kita air, Tuhan beri kita tasik, Tuhan beri kita air hujan yang boleh kita proses menggunakan teknologi terkini untuk menghasilkan tenaga hidrogen,” kata Abang Johari.
Ujarnya lagi, ribut taufan yang berlaku di Taiwan, China dan Vietnam baru-baru ini membawa makna bahawa keadaan dunia sudah kelam kabut.
Abang Johari percaya ia adalah disebabkan oleh salah lalu manusia dalam menguruskan bumi. — DayakDaily