ADVERTISE HERE
MIRI, 13 Sept: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan memperkasa kepimpinan muda sebagai persediaan memastikan kesinambungan perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan pembangunan Sarawak.
Beliau berkata, proses peralihan kepimpinan merupakan lumrah dalam sesebuah organisasi dan generasi baharu perlu diberi ruang serta latihan untuk mengambil alih tanggungjawab kepimpinan.
“Ini mungkin penggal terakhir saya. Walaupun hati muda, tapi saya akan buat keputusan bila masanya sampai.
“Tetapi perjuangan tetap kita teruskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, di sini hari ini.
Menurutnya, PBB perlu terus melatih pemimpin muda, termasuk menyediakan barisan pelapis bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita mesti latih yang muda-muda. Dalam pilihan raya kita mesti ada orang baharu.
“Yang tua diganti yang muda. Itu lumrah alam,” katanya.
Abang Johari turut menegaskan bahawa pemimpin generasi baharu perlu mempunyai keupayaan memimpin selain memahami kepelbagaian masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Katanya, kesinambungan kepimpinan penting bagi memastikan perjuangan membangunkan Sarawak terus diteruskan dengan berlandaskan perpaduan dan semangat inklusiviti. – TVS

53 minutes ago
3








English (US) ·