ACL Two: ‘Cakaran’ The Cats diuji Khamis ini

58 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 14 Sept: Phnom Penh Crown bakal menjadi ujian sebenar buat Kuching City FC apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi pembukaan Kumpulan H AFC Champions League Two (ACL Two) 2026/27, Khamis ini.

Pertemuan yang dijadualkan berlangsung di Morodok Techo National Stadium, Phnom Penh itu menjadi penampilan penting buat The Cats selepas muncul naib juara Liga Super Malaysia musim lalu.

Kuching City diundi dalam Kumpulan H bersama kelab Korea Selatan, Gangwon FC, Kitchee SC dari Hong Kong dan Phnom Penh Crown dari Kemboja.

Sehubungan itu, perlawanan pembukaan itu penting buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak untuk memburu keputusan positif sebagai langkah awal dalam kempen sulung mereka di peringkat kumpulan ACL Two.

Phnom Penh Crown bukan lawan yang boleh dipandang mudah, dengan pengalaman mereka beraksi di pentas kelab Asia dijangka memberi cabaran berbeza kepada The Cats.

Bagaimanapun, Kuching City hadir dengan momentum positif selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC dalam aksi Liga Super pada 5 September sebelum menewaskan Kelantan Red Warriors 5-1 dalam aksi kedua Piala FA, tiga hari kemudian dan menundukkan Melaka FC 2-1 (Liga Super) Sabtu lepas.

Pertemuan di Phnom Penh bakal menjadi medan terbaik buat Kuching City membuktikan bahawa pencapaian di pentas domestik mampu diterjemahkan ke peringkat antarabangsa.

Selain keputusan, aksi berkenaan turut menjadi peluang buat The Cats menguji tahap permainan, disiplin taktikal dan mentaliti pemain ketika berdepan lawan dari luar negara.

Selepas Phnom Penh Crown, Kuching City dijadualkan menentang Kitchee pada 15 Oktober, diikuti dua pertemuan dengan Gangwon FC masing-masing pada 29 Oktober dan 5 November.

The Cats kemudian menentang Phnom Penh Crown sekali lagi pada 26 November sebelum menutup kempen Kumpulan H bertemu Kitchee pada 3 Disember.

Dengan misi membawa nama Sarawak ke pentas Asia, perlawanan pertama di Phnom Penh menjadi peluang buat Kuching City mencipta kenyataan awal bahawa mereka bukan sekadar peserta, sebaliknya mampu bersaing dalam ACL Two.-TVS

Read Entire Article