ADVERTISE HERE
MIRI, 23 Sept: Perkembangan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan sebagai peluang untuk meningkatkan kecekapan industri penerbitan Sarawak, namun aspek kualiti, hak cipta, ketulenan karya dan integriti maklumat perlu terus dipelihara, kata Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata, perkembangan teknologi kini membuka ruang lebih luas dalam proses menghasilkan, menyunting, menterjemah dan menyebarkan bahan bacaan kepada masyarakat.
Kemajuan teknologi berkenaan katanya perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh budaya membaca dan meningkatkan penghasilan bahan bacaan berkualiti bagi membentuk masyarakat berpengetahuan serta berdaya saing.
“Perubahan ini harus dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan kecekapan dalam menghasilkan, menyunting, menterjemah dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat.
“Namun, kita mesti terus menjaga kualiti, hak cipta, ketulenan karya dan integriti maklumat supaya industri penerbitan kekal berwibawa dan dipercayai,” katanya ketika berucap pada Perasmian Seminar Penyerahan Bahan Terbitan dan Industri Penerbitan di Sarawak 2026, di Pustaka Negeri Sarawak Miri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) telah membangunkan Sistem Pengurusan Deposit Undang-Undang (LDMS) bagi memudahkan proses penerimaan, pengurusan, rekod dan dokumentasi bahan terbitan dalam format digital.
Menurutnya, sistem tersebut penting bagi memastikan bahan terbitan yang dihasilkan di Sarawak terus dikumpul, dipelihara dan didokumentasikan untuk dijadikan bahan rujukan oleh generasi akan datang.
“Bahan yang diserahkan hari ini bukan sekadar bahan bacaan, tetapi merupakan sebahagian daripada rekod dan khazanah ilmu yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Tambah beliau, kementeriannya turut menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta yang diperuntukkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membantu menampung kos penerbitan buku.
“Kepada penulis yang mahu menerbitkan atau mencetak buku, sila kemukakan permohonan kepada kementerian untuk mendapatkan peruntukan yang disediakan.
“Ini dapat membantu penulis menghasilkan lebih banyak karya dan pada masa sama memperkayakan lagi industri penerbitan Sarawak,” katanya.
Sehingga Ogos 2026, sebanyak 13,320 judul melibatkan 53,200 naskhah bahan penerbitan telah diterima melalui pelaksanaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 1999. – TVS

1 hour ago
7








English (US) ·