AIM25: Ary Hussin, Qal G teruja debut di Sarawak

6 days ago 16
ADVERTISE HERE

KUCHING, 24 Sept: Dua penyanyi baharu, Ary Hussin dan Qal G, meluahkan keterujaan selepas pertama kali menjejakkan kaki ke Sarawak bagi menghadiri Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).

Kunjungan ke Bumi Kenyalang itu menjadi pengalaman baharu buat kedua-dua penyanyi berkenaan, masing-masing selepas tercalon dalam kategori Artis Baharu Terbaik.

Bagi Ary Hussin, 40, kunjungan pertama ke Sarawak menjadi pengalaman yang dinanti-nantikan, malah dia turut merancang untuk meluangkan masa menerokai lokasi menarik di Kuching selain menghadiri acara berkenaan.

“Seusia saya ini, yang pertama kalinya (datang ke Sarawak). First of all, sangat-sangat excited sebab saya ada bertanya beberapa rakan yang pernah datang ke sini dan ada beberapa tempat yang mereka cadangkan untuk saya pergi jalan-jalan,” katanya.

Ary berkata, pencalonan dalam AIM sudah dianggap sebagai satu rahmat besar, apatah lagi berdepan saingan hebat daripada calon lain dalam kategori berkenaan.

“Sebagai manusia, saya sangat-sangat bersyukur. Bila dicalonkan itu pun sudah satu rahmat yang besar. Kadang-kadang saya pun tak tahu, saingan terlalu dahsyat,” katanya.

Menurutnya, kemenangan bukanlah perkara utama kerana dia tetap mahu meraikan pencapaian bersama rakan-rakan seperjuangan yang turut tercalon.

“Kita datang dengan satu niat yang baik untuk sama-sama meraikan anugerah ini. Kalau saya tidak menang sekalipun, saya tetap akan menyokong kawan-kawan yang menang. Kita raikan sama-sama. Kita datang sini pun sudah cukup bersyukur,” katanya.

Sementara itu, Qal G atau nama sebenarnya Haiqal Naqib turut berkongsi keterujaan selepas pertama kali berkunjung ke Sarawak sepanjang 29 tahun hidupnya.

“Saya sangat teruja sebab ini kali pertama saya, 29 tahun hidup, tak pernah pergi Sarawak. Jadi ini kali pertama saya datang Sarawak. Saya tak sabar nak cuba mi kolok,” katanya.

Mengulas pencalonannya dalam kategori sama, Qal G menyifatkan kejayaan berada dalam kelompok lima terbaik sudah cukup membanggakan dan menjadi satu pencapaian besar dalam perjalanan kerjayanya.

“Saya dapat Top 5 pun saya dah bersyukur sangatlah. Kalau menang atau kalah, itu belakang cerita sebab saya rasa saya dah berbangga dapat tercalon dalam AIM ini,” katanya.

Qal G turut mengakui semua calon dalam kategori berkenaan memberikan saingan sengit, memandangkan masing-masing mempunyai pengalaman dalam industri muzik.

“Saya rasa semua sengit-sengit sebab mereka semua dah berpengalaman dalam industri muzik ini. Jadi saya rasa sangat bangga dengan diri sendiri dapat berada dalam Top 5 ini,” katanya.

Menurutnya, pencalonan di pentas AIM turut membuka ruang lebih luas untuk dirinya dikenali dalam industri muzik tempatan.-TVS

Read Entire Article