ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Sept:Pelaksanaan subsidi bersasar perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat termasuk corak penggunaan, lokasi tempat tinggal dan jarak perjalanan harian bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Penganalisis Ekonomi, Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, ketepatan maklumat mengenai pendapatan, corak penggunaan dan keperluan rakyat menjadi cabaran utama dalam memastikan pelaksanaan subsidi bersasar mencapai matlamatnya.
“Kerajaan sebenarnya memerlukan informasi yang begitu tepat. Kalau kerajaan tidak mempunyai informasi yang tepat, ia akan sukar untuk dilaksanakan dan pastinya ada golongan yang tercicir,” katanya ketika ditemui TVS, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, kategori pendapatan semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan tahap keperluan seseorang terhadap subsidi kerana rakyat dalam kumpulan pendapatan yang sama mempunyai corak perbelanjaan dan komitmen berbeza.
Katanya, faktor lokasi tempat tinggal, pekerjaan serta jarak perjalanan ke tempat kerja perlu diberikan perhatian, khususnya dalam menentukan kelayakan dan had penggunaan subsidi petrol.
Beliau memetik contoh golongan berpendapatan rendah yang perlu melakukan perjalanan jauh setiap hari bagi memenuhi tuntutan pekerjaan dan keluarga.
“Walaupun dia dikatakan B40 tetapi tuntutan jalan mereka untuk tiap hari, mereka untuk pergi ke tempat kerja jauh. Suami dan isteri jauh dan kadang-kadang tidak mencukupi,” ujarnya.
Dzul Hadzwan berkata, keadaan itu menunjukkan bahawa penetapan had penggunaan subsidi secara seragam perlu mengambil kira realiti kehidupan penerima.
Menurutnya, kerajaan juga perlu memperhalusi mekanisme pemberian subsidi berdasarkan latar belakang kewangan serta tahap keperluan setiap kumpulan.
Beliau mencadangkan supaya mekanisme subsidi mempunyai beberapa tahap ambang penggunaan bagi membolehkan kadar bantuan disesuaikan dengan kemampuan penerima.
Katanya, kumpulan B40 mungkin memerlukan ruang bantuan yang lebih besar, manakala M40 dan T20 pula mungkin mempunyai ruang yang lebih luas untuk berdikari.
“Contohnya kalau M40 kita memberikan sedikit, kalau kita bandingkan B40, mungkin hak memerlukan itu lebih luas. M40 mungkin ada sedikit ruang untuk mereka berdikari,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian bagaimanapun memerlukan sistem data yang kukuh supaya keputusan mengenai kelayakan dan jumlah subsidi dapat dibuat dengan lebih tepat.
Menurutnya, ketepatan maklumat menjadi asas penting bagi memastikan usaha menyasarkan subsidi benar-benar berkesan dan tidak menimbulkan masalah baharu kepada rakyat. -TVS

3 hours ago
7








English (US) ·