ADVERTISE HERE
KUCHING, 26 Sept: Karpet merah Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) berlangsung meriah dengan kehadiran barisan bintang legenda hingga bakat baharu industri muzik tanah air yang tampil dengan pelbagai gaya menjelang malam kemuncak anugerah berprestij itu.
Pesona Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza antara yang paling mencuri perhatian dengan penampilan anggun sekali gus menambah seri suasana karpet merah AIM25.
Turut kelihatan ialah penyanyi legenda Noraniza Idris yang terus menjadi antara figura penting dalam industri muzik tempatan, selain penyanyi Aisha Retno yang mewakili kelompok bakat generasi baharu.
Rapper dan penyanyi SonaOne juga hadir memeriahkan karpet merah, selain penyanyi serta komposer Ikhwan Fatana yang turut menjadi antara penggiat muzik yang hadir pada acara berkenaan.
Kehadiran penggiat muzik daripada pelbagai generasi itu memperlihatkan kepelbagaian landskap muzik Malaysia yang menghimpunkan nama berpengalaman dan bakat baharu dalam satu pentas.
Turut hadir ialah Ketua Juri AIM25, Ajai, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG), Kushairi Abang, Ketua Pegawai Media SMG, Mohamad Sardon Zainal serta Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim yang sama-sama memeriahkan acara karpet merah berkenaan.
Kehadiran mereka turut memperlihatkan sokongan pelbagai pihak terhadap kesinambungan serta perkembangan industri muzik tanah air, khususnya dalam meraikan pencapaian penggiat seni menerusi AIM25.
Karpet merah AIM25 bukan sahaja menjadi pentas untuk menampilkan gaya dan penampilan selebriti, malah menjadi ruang pertemuan penggiat industri muzik daripada pelbagai latar sebelum berlangsungnya malam penganugerahan.
AIM25 menghimpunkan penyanyi, komposer, penerbit serta pemain industri muzik yang bersama-sama meraikan karya dan pencapaian sepanjang perjalanan industri muzik tanah air.
Malam penganugerahan itu sekali gus menjadi acara penting untuk menghargai sumbangan penggiat muzik daripada pelbagai generasi yang terus mewarnai dan memperkukuh ekosistem muzik Malaysia.-TVS

1 hour ago
7







English (US) ·