AIM25: Pencalonan suntik semangat Reza berkarya

6 days ago 17
ADVERTISE HERE

KUCHING, 24 Sept: Penyanyi kelahiran Kuching, Reza Shah melihat pencalonannya dalam kelompok lima terbaik kategori Artis Baharu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) sebagai peluang untuk terus mengembangkan kerjaya dan menghasilkan lebih banyak karya.

Reza berkata, pencalonan itu turut menyuntik semangat untuk memperkenalkan dirinya dengan lebih meluas kepada peminat menerusi karya baharu.

“Saya harap AIM ini menjadi salah satu platform besar untuk saya terus berkarya. Saya akan keluarkan lagi lagu banyak-banyak supaya orang akan tahu saya lebih lanjut,” katanya.

Reza turut meluahkan rasa teruja apabila terpilih sebagai salah seorang daripada lima finalis kategori berkenaan, selain tidak menyangka dapat bersaing bersama penyanyi baharu lain.

“Teruja dan ‘excited’ juga sebab macam tak percaya boleh bertanding dengan mereka. Saya rasa macam tak sangka juga boleh jadi finalist Top 5 dan perasaan itu macam speechless,” katanya.

Mengulas peluang membawa pulang trofi, Reza tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana mengakui saingan dalam kategori itu sengit, namun tetap menyimpan sedikit harapan untuk mencipta kejutan di pentas AIM25.

“Saya tak adalah bagi expectation yang tinggi sangat sebab saya tahu saingan saya memang semua boleh tahan. Kalau nak kata harapan sedikit tu adalah juga, menaruh sikit saja, mungkin 10 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Reza mengakui masih mempunyai banyak ruang untuk mengembangkan kerjaya memandangkan setakat ini beliau baru mempunyai beberapa lagu dan belum menghasilkan karya yang benar-benar mencetuskan fenomena.

Pada masa sama, Reza mengakui pernah terkilan apabila perkembangan kerjayanya kurang mendapat liputan media tempatan Sarawak selepas sekian lama berada di Semenanjung.

“Jujur, saya terkilan sebab mungkin saya dah lama sangat dekat Semenanjung dan jarang dapat liputan daripada media tempatan, tempat lahir saya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan perkongsian mengenai perkara itu membawa perkembangan positif apabila mendapat perhatian media Sarawak menjelang kepulangannya ke Kuching sempena AIM25.

“Alhamdulillah selepas saya buat ‘posting’ itu, sekarang saya tengah ditemu bual oleh media Sarawak dan saya sangat menghargainya,” katanya.

Menurut Reza, beliau tidak mengharapkan layanan istimewa, sebaliknya sekadar mahu dihargai oleh masyarakat dan media tempatan.

“Saya tak ada ‘feeling diva’ atau rasa ‘entitled’. Saya cuma nak dihargai oleh orang tempatan sendiri,” katanya. -TVS

Read Entire Article