Akademi juruterbang di CENTEXS Betong dibangunkan dengan kerjasama sektor swasta

4 days ago 26
ADVERTISE HERE

BETONG, 26 Sept: Akademi juruterbang atau flying academy di CENTEXS Betong bakal dibangunkan dengan kerjasama sektor swasta bagi menyediakan latihan berkaitan penerbangan termasuk pengendalian dron.

Cadangan itu selaras dengan perkembangan teknologi khususnya dalam sektor pertanian moden yang semakin memerlukan penggunaan dron untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, penggunaan dron dalam pertanian memerlukan pengendali yang mempunyai kemahiran serta lesen berkaitan.

“Pertanian moden memerlukan dron. Kita mesti mempunyai individu yang boleh mengendalikan dron dan untuk menerbangkan dron, mereka perlu mempunyai lesen.

“Sebab itu saya menyokong supaya kita mewujudkan flying academy di sini bersama sektor swasta kerana ia melibatkan pelesenan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong hari ini.

Katanya, kemahiran itu penting supaya generasi muda di kawasan luar bandar dapat menguasai teknologi baharu dan seterusnya mengaplikasikannya dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, ruang udara di kawasan Betong juga boleh dimanfaatkan sebagai lokasi latihan bagi membolehkan peserta mempelajari aspek pengendalian dron secara praktikal.

Menurutnya, penguasaan teknologi dron hanyalah sebahagian daripada kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi ekonomi era baharu, dengan teknologi robotik turut dijangka memainkan peranan semakin penting pada masa hadapan.

Untuk rekod cadangan penubuhan kampus tetap CENTEXS di Betong sebelum ini telah diluluskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Program Ngabang Gawai Peringkat Bahagian Betong pada 2024.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan perubahan ekonomi Sarawak yang semakin berteraskan teknologi dan pengetahuan.

Justeru katanya, generasi muda perlu dilengkapi dengan ilmu serta kemahiran bersesuaian dengan keperluan ekonomi era baharu.

Di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), sebanyak 64 program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta beberapa bidang lain ditawarkan kepada pelajar.

Bagi 2026, sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan FTES melibatkan kira-kira 8,000 pelajar baharu. – TVS

Read Entire Article