ADVERTISE HERE
MIRI, 13 Sept: Golongan warga emas digalakkan terus melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan bagi memastikan mereka kekal sihat, aktif serta tidak terasing selepas bersara.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penjagaan kesihatan fizikal sahaja tidak mencukupi kerana kesihatan emosi dan hubungan sosial turut penting dalam memastikan kualiti hidup golongan berkenaan.
Menurutnya, aktiviti seperti nyanyian, bersukan, melancong, menyertai persatuan dan kerja-kerja sukarela dapat membantu warga emas mengekalkan hubungan dengan rakan serta menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
“Kalau setiap hari kita duduk di rumah dan hanya menjaga kesihatan, itu juga tidak sihat. Yang penting, kita perlu ada aktiviti dan bergaul dengan orang lain.
“Kita tidak boleh hidup dalam keadaan terlalu bersendirian kerana minat seseorang juga boleh mempengaruhi kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Senior Citizen Singing Fellowship and Lunch Gathering anjuran Kaying Community Association Miri, di sini, hari ini.
Tambah beliau, aktiviti nyanyian dan pertemuan seperti itu bukan sekadar mengisi masa lapang, malah memberi peluang kepada warga emas untuk bertemu rakan lama dan mengekalkan hubungan sosial.
“Nyanyian boleh membuatkan kita gembira dan memberi peluang untuk keluar bertemu rakan-rakan.
“Walaupun nampak seperti aktiviti santai, saya rasa maknanya sangat besar kerana kita dapat terus berhubung dan tidak hanya duduk di rumah selepas bersara,” katanya lagi.
Sementara itu,penyediaan kemudahan awam seperti taman rekreasi turut penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat termasuk warga emas.
Katanya, sebanyak 51 taman berskala kecil dan besar telah dibangunkan di kawasan sekitar Miri sejak beberapa tahun lalu bagi menyediakan ruang kepada penduduk untuk bersenam, beriadah dan berinteraksi.
“Matlamat saya ialah supaya penduduk di setiap kawasan mempunyai taman yang dekat dengan rumah untuk berlari, bersenam dan menjalankan aktiviti bersama.
“Ini penting kerana kita berdepan dengan masyarakat yang semakin berusia dan memerlukan tempat yang sesuai untuk mereka bersenam serta berkumpul,” ujarnya.
Menurut beliau, perubahan demografi yang menyaksikan masyarakat semakin menua memerlukan perhatian bersama daripada kerajaan, keluarga, masyarakat dan pertubuhan komuniti.
Katanya, hubungan secara bersemuka juga semakin penting dalam era teknologi apabila masyarakat kini lebih banyak berkomunikasi menerusi telefon pintar. – TVS

1 hour ago
4








English (US) ·