KUCHING: Mohamad Asfia Awang Nassar dilantik semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa 16 Nov ini hingga 15 Nov 2025.
Hantaran laman rasmi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), memaklumkan lantikan kali kesembilan Asfia bagi jawatan itu susulan lantikan kali kelapan Speaker DUN berkenaan bakal tamat 15 Nov.
“Istiadat mengangkat sumpah Mohamad Asfia di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud telah berlangsung di kediaman rasmi beliau hari ini.
“Dalam istiadat itu, Tan Sri Mohamad Asfia turut menandatangani surat sumpah sebagai Speaker DUN Sarawak untuk tempoh dua tahun,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, majlis turut dihadiri dua Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas dan Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Hadir sama Timbalan Speaker DUN Sarawak Idris Buang dan Peguam Besar Negeri Sarawak Saferi Ali.