ADVERTISE HERE
BANGKOK, 14 Sept: Usaha Sarawak memperkukuh kerjasama tenaga serantau menerusi peranan dalam Grid Tenaga ASEAN mendapat sambutan positif daripada peserta antarabangsa, termasuk wakil negara-negara Afrika dan Thailand.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata perkara itu diketengahkan ketika menyertai sesi meja bulat peringkat menteri bersama pemimpin tenaga serta ketua eksekutif syarikat minyak dan gas pada GASTECH 2026 di Bangkok.
Menurutnya, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha membangunkan sistem tenaga yang lebih mampan dalam berdepan perubahan iklim, termasuk peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Saya telah mengutarakan mengenai peranan Sarawak dalam Grid Tenaga ASEAN dan keduanya mengenai cara-cara kita membangunkan tenaga melalui keadaan yang sudah berubah disebabkan oleh perubahan iklim.
“Kita harus berkembang berdasarkan program penyahkarbonan dan meneruskan usaha untuk berkongsi tenaga bersama-sama dengan negara-negara di ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Fireside Chat GASTECH 2026 di sini pada Isnin.
Beliau berkata perkembangan itu berpotensi membuka ruang lebih luas kepada Sarawak untuk memperkukuh jaringan kerjasama tenaga dengan negara-negara serantau dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata penyertaannya di GASTECH 2026 turut memberi peluang untuk bertukar pandangan dengan pihak penganjur mengenai hala tuju ekonomi Sarawak.
Katanya, interaksi bersama pemain industri tenaga dan rakan-rakan ASEAN penting bagi membolehkan Sarawak memperoleh input baharu serta menyesuaikan strategi pembangunannya dengan perubahan landskap tenaga global.
“Saya yakin pertemuan kita di sini sedikit sebanyak dapat memberi kita input baharu dan juga menyesuaikan hala tuju kita bersama-sama dengan rakan-rakan kita di ASEAN,” katanya.
Penyertaan Sarawak pada GASTECH 2026 sekali gus memperlihatkan komitmen negeri itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam agenda keselamatan tenaga, penyahkarbonan dan pembangunan ekonomi serantau. – TVS

5 hours ago
7








English (US) ·