ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Sept: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi menjadi gambaran identiti Sarawak yang membina masa depan melalui kepelbagaian, keharmonian dan sikap saling menghormati.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kewujudan kompleks itu membawa makna besar selari dengan semangat Hari Malaysia kerana ia mencerminkan sebuah masyarakat yang dibina atas asas kepelbagaian, namun memilih untuk berkongsi masa depan bersama.
“Kompleks UNIFOR dibina berhadapan dengan Pusat Penerangan Islam di Jalan Ong Tiang Swee. Dua institusi berkaitan ruang keagamaan berdiri berhadapan sebagai jiran. Bukan dalam persaingan, tetapi dalam semangat saling menghormati dan hidup bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, keadaan itu menggambarkan nilai sebenar Malaysia yang menghargai perbezaan tanpa menjadikannya punca perpecahan.
Menurutnya, Kompleks UNIFOR bukan sekadar sebuah bangunan, sebaliknya menjadi gambaran tentang siapa masyarakat Sarawak dan bagaimana keharmonian perlu menjadi sebahagian daripada pembangunan negeri.
“Kompleks UNIFOR bukan sekadar sebuah bangunan. Ia adalah gambaran tentang siapa kita sebagai rakyat Sarawak,” ujarnya.
Jelas Abang Johari, keharmonian bukan perkara sampingan dalam pembangunan kerana ia perlu menjadi sebahagian daripada asas pembinaan masa depan Sarawak.
Beliau menambah, pengalaman Sarawak membuktikan masyarakat yang berbeza agama, kaum dan latar belakang mampu bergerak ke hadapan dengan matlamat sama, tanpa perlu menghapuskan perbezaan untuk mencapai perpaduan. – TVS

1 hour ago
4








English (US) ·