ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Sept: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bukan sekadar saluran bantuan kewangan, sebaliknya mencerminkan pendekatan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh komuniti serta memastikan semua agama diberi ruang untuk berkembang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nilai saling menghormati dan keterangkuman perlu diterjemahkan melalui tindakan serta tadbir urus, bukan hanya sekadar slogan.
“Nilai saling menghormati dan keterangkuman tidak boleh hanya menjadi slogan. Nilai-nilai ini mesti diterjemahkan dalam tadbir urus,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, malam ini.
Menurutnya, atas prinsip itu, UNIFOR ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak pada tahun 2017 bagi memastikan komuniti agama-agama lain turut dihormati, diberikan ruang untuk berkembang dan dapat menyumbang kepada pembangunan negeri.
Sehingga kini, Kerajaan Sarawak telah meluluskan keseluruhan RM685 juta melalui UNIFOR, termasuk RM565 juta bagi pembinaan, penyelenggaraan dan naik taraf rumah ibadat agama-agama lain serta RM120 juta untuk pembangunan berterusan sekolah-sekolah mubaligh.
Jelas Abang Johari, peruntukan yang disalurkan bukan hanya berkaitan pembangunan fizikal, sebaliknya merupakan usaha memperkukuh komuniti di Sarawak.
“Peruntukan ini bukan semata-mata mengenai bangunan. Ia adalah pelaburan dalam komuniti,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan rumah ibadat bukan sekadar tempat beribadah, tetapi menjadi ruang membentuk sahsiah, mendidik generasi muda, menjalankan aktiviti kebajikan dan mengukuhkan hubungan dalam komuniti.
Tambahnya, apabila institusi masyarakat diperkukuh, Sarawak turut memperkukuh modal sosial yang menjadi antara asas penting kepada pembangunan negeri. – TVS

1 hour ago
5








English (US) ·